Tuesday 9 August 2016

TOPIK 3 INTONASI

Intonasi ialah nada suara yang turun naik atau tinggi rendah sewaktu bercakap dan hendaklah berdasarkan jenis dan bentuk ayat atau kalimat dalam bahasa Melayu, sama ada ayat penyata biasa, ayat tanya, ayat perintah, ayat terbalik atau songsang atau ayat pasif dan seumpamanya. Intonasi bahasa Melayu dapat dikenali dan digayakan dengan empat tingkat nada yang biasa ditandai dengan angka 1, 2, 3 dan 4. Angka 1 menandai nada yang paling rendah dan angka 4 menandai nada yang paling tinggi. Nada 2 memulakan ujaran dan nada 3 merupakan nada tekanan.

Intonasi bahasa Melayu mempunyai hubungan yang rapat dengan sintaksis, iaitu dapat membezakan jenis dan bentuk ayat. Intonasi wujud dalam bahasa Melayu bagi menandai dan memisahkan frasa yang pelbagai jenis dan bentuknya.Ada beberapa fungsi intonasi. Antaranya:

i.Fungsi emosional: Untuk menyatakan pelbagai makna sikap, seperti kegembiraan, kebosanan, kemarahan, kekejutan, keakraban, kekecualian, ketakutan dan ratusan sikap yang lain.
ii.Fungsi gramatis: Untuk menandakan kontras dari segi tatabahasaterhadap sesuatu ujaran, sama ada sesebuah klausa atau ayat itu berupapertanyaan atau pernyataan, positif atau negatif dan seumpamanya.

iii.Fungsi struktur informasi: Untuk memberikan sesuatu yang baru berbanding dengan yang telah dimaklumi dalam makna sesebuah ujaraniaitu dengan menekankan kata yang membawa makna tersebut.

iv.Fungsi tekstual: Untuk membentuk nada dan gaya suara yang turun naik bagi wacana yang lebih luas seperti pembacaan teks berita yang membezakan satu berita dengan berita yang lain.

v.Fungsi psikologi: Untuk membantu menggubah bahasa menjadi unit-unit ujaran yang mudah dilihat dan diingat, seperti belajar urutan nombor yang panjang atau ungkapan dalam ucapan.
vi.Fungsi ‘indexical’: Untuk menandai identiti seseorang, iaitu membantu mengenali seseorang sama ada tergolong dalam kumpulan sosial atau pekerjaan yang berbeza, seperti khatib, penjual ubat atau sarjan tentera.

Oleh demikian, kita perlulah menggunakan intonasi yang sesuai ketika berbicara agar maklumat yang ingin disampaikan dapat diterima dan difahami oleh pendengar kita. 

No comments:

Post a Comment